POKOK SENA – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menyantuni penduduk Desa KEDA Derang menerusi Program Lawatan Pengerusi KEDA Bersama Penduduk Desa KEDA Zon 3, Pendang/Pokok Sena yang diadakan di sini, kelmarin.
Tiga lokasi desa KEDA menjadi tumpuan Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Seri Diraja Mahdzir bin Khalid dan Desa KEDA Derang menjadi lokasi terakhir acara.
Turut hadir bersama adalah Pengurus Besar, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar, Penasihat Program dan Aktiviti KEDA Parlimen Pokok Sena, YBhg. Dato’ Syed Ali bin Syed Rastan, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Rojani bin Romeli dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 3, Encik Hafiz bin Ahmad.
Dalam program berkenaan, seorang penduduk Desa KEDA Derang telah menerima geran hak milik sebagai simbol komitmen KEDA dalam menjamin kesejahteraan dan hak pemilikan penduduk desa.
Selain itu, KEDA turut menyampaikan sumbangan bantuan beras sebanyak 20 beg kepada Jawatankuasa Persekutuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Desa KEDA Derang sebagai usaha meringankan beban komuniti setempat.
Program diteruskan dengan Ziarah Kasih ke lima buah rumah penduduk, bertujuan menyantuni serta melihat secara dekat keadaan dan keperluan penduduk, selaras dengan aspirasi KEDA untuk sentiasa mendekati rakyat di peringkat akar umbi.
Program seumpama ini mencerminkan keprihatinan berterusan KEDA dalam memastikan kebajikan dan pembangunan sosial penduduk desa terus diberi perhatian.