Menu Aksesibiliti ×
Saiz Tulisan
Warna Kontras
Tulisan Jelas (Arial)
Tetapan Asal


.

.

KEDA PERUNTUK RM2.5 JUTA BINA 40 RUMAH SAMPAH DI DESA KEDA

KEDA PERUNTUK RM2.5 JUTA BINA 40 RUMAH SAMPAH DI DESA KEDA
POKOK SENA – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi pembinaan 40 unit rumah sampah di Desa-Desa KEDA di bawah pelaksanaan Projek Pengurusan Sisa Pepejal di Wilayah KEDA (SPIKE) bermula tahun 2023 hingga 2027.
Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Seri Diraja Mahdzir bin Khalid berkata, inisiatif itu bertujuan memperkenalkan sistem pengumpulan sampah berpusat yang lebih tersusun, sekali gus membantu meningkatkan kebersihan dan kualiti persekitaran di kawasan luar bandar.
Menurut beliau, sistem pengurusan sampah tersebut dilaksanakan melalui persetujuan penduduk dengan bayaran minimum, membolehkan operasi lori sampah dijalankan secara berjadual dan berterusan.
“Setakat ini, 20 perkampungan KEDA telah melaksanakan sistem pengurusan sampah ini, manakala selebihnya akan dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada keperluan infrastruktur sedia ada,” katanya ketika berucap pada Program Lawatan Pengerusi KEDA Bersama Penduduk Desa KEDA Zon 3 Pendang/Pokok Sena, di Desa KEDA Bendang Perang, kelmarin.
Mengulas lanjut mengenai peruntukan projek, beliau menjelaskan bahawa pada tahun 2023 (Fasa 1), sebanyak RM500,000 telah diperuntukkan bagi pembinaan 10 unit rumah sampah yang kini siap sepenuhnya, manakala bagi tempoh 2025 hingga 2027, KEDA memperuntukkan RM2 juta lagi untuk pembinaan 30 unit rumah sampah tambahan.
Sehingga kini, 20 unit rumah sampah telah siap dibina dan dilancarkan di Desa-Desa KEDA, manakala baki 20 unit lagi dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2027.
Dalam pada itu, beliau berharap pelaksanaan Projek SPIKE ini dapat meneruskan kesinambungan pembangunan desa yang lebih indah, bersih dan lestari selaras dengan aspirasi KEDA memperkasa kesejahteraan komuniti luar bandar.
Untuk rekod, Projek Pengurusan Sisa Pepejal di Wilayah KEDA (SPIKE) memberi tumpuan kepada pembinaan pusat pengumpulan sisa pepejal di kawasan luar bandar serta membangunkan sistem pengurusan sampah yang lebih sistematik dan efisien di Desa-Desa KEDA.
Kos peruntukan projek ini melibatkan pembinaan rumah sampah, pembelian tong roro serta kos operasi pengurusan sisa pepejal.
Selain itu, projek ini turut membuka peluang kepada golongan B40 untuk terlibat secara langsung dalam pengurusan sisa pepejal ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan selamat.
×
Imej ahli lembaga pengarah